Thursday, November 22, 2012

BILA KITA JADI SAHABAT

Bukan senang nak menjadi sahabat yang baik, yang terima sahabatnya sehabis adanya.




Sedar tak sedar, banyak agaknya ayat dan butir bicara kita yang mengguris hati insan bernama sahabat. Mungkin wajahnya tak menggambarkan riak terluka, tapi hatinya? Pernahkah kita fikir dalam-dalam?




Bila sahabat kita ada tersilap dalam berkata-kata, cepat saje kita biar hati kita dipalut duka. Cepat saje kita biar hati kita terasa. Bukan nak memujuk mahupun bersangka baik, kita malah menabur sedikit kesilapan sahabat itu di pendengaran yang lain.




Bila bercerita kisah kita, kalau boleh kita nak sahabat kita faham segala isi hati kita. Kadang-kadang sampai kita terlupa, mungkin dia juga ada kisah yang ingin dikongsikan dengan kita. Tapi dia diamkan saja, sebab dia lihat kita terlalu asyik bercerita hal kita.




Bila kita perlukan seseorang untuk temankan kita, kita panggil sahabat kita tu menemani. Tapi kita selalu terlepas pandang, bila masanya sahabat kita perlukan kita di sisi.




Bila kita jatuh sakit, kita mengharapkan sahabat kita paling kurang pun wish kita cepat sembuh. Tapi bila sahabat kita yang jatuh sakit, kita tak ambil peduli pun. Tanya pun tidak samada sahabat kita perlu apa-apa pertolongan tak dari kita.




Bila orang lain ketepikan kita, cakap bukan-bukan pasal kita, kita harap sangat sahabat kita sentiasa percayakan kita, tak membuta tuli percaya apa yang orang kata. Tapi bila dia yang berhadapan situasi begitu, cepat saja kita buat andaian sendiri, percaya membuta tuli kata-kata orang yang entah kan betul entah kan tidak itu.




Bila sahabat kita ada masalah, perlukan nasihat, kita beri dia nasihat. Of courselah, kita mengharapkan mereka terima nasihat kita dengan baik, sebab kita ikhlas menasihati dia. Tapi bila kita dalam masalah, bila dia menasihati kita, kita tolak nasihatnya jauh-jauh. Kita tak boleh terima nasihatnya walaupun kita tahu apa yang dia nasihatkan itu betul. Kita malah kecoh memberitahu orang lain bahawa sahabat kita ini memperli dan menghina kita. Tau tak kita betapa ikhlasnya sahabat kita menasihati kita? Sebagaimana ikhlasnya kita menasihati dia dulu. Apa perasaan kita bila kita ikhlas menasihati, tapi dia menolak dengan kata-kata yang begitu menyinggung perasaan? Kalau kita diperlakukan begitu, kita pandang benda tu besar sekali. Tapi bila kita buat sahabat kita begitu, sikit pun kita tak pandang apa yang dia rasa.




Bila sahabat kita buat salah, buat sesuatu yang menyinggung perasaan kita, bila dah berbaik semula, pasti kita ingin dia untuk paling kurang pun lafazkan ucapan maaf pada kita. Mesti kita nak sahabat kita buat begitu. Tapi bila kita yang buat salah, bila dah berbaik semula, kita tak rasa pun kita perlu minta maaf. Kita tak tahu pun ucapan maaf tu sebenarnya memainkan peranan besar dalam menyembuhkan sesuatu ikatan antara dua insan. Kita pandang ianya ringan bila bukan kita yang kena, kita malah tak rasa adanya keperluan untuk kita ucapkannya. Walaupun mungkin sahabat kita tak kisah pun, tapi kalau kita kisah bila orang lain buat macam tu pada kita, tak boleh ke kita kisah juga jika kita yang buat begitu pada orang lain?




Bila sahabat kita masih ada di sisi kita, kita tak hargai kebaikannya. Kita tak hargai pun sedikit kekurangannya. Tapi bila dia dah tiada, atau bila kita dah terpisah dari dia, dan kita dapat sahabat baru yang jauh lebih banyak kurangnya dari sahabat kita dahulu, baru kita terasa, sikitnya kekurangan sahabat kita dahulu besar maknanya. Bila kita yang perlu banyak mengalah dengan sahabat baru kita, baru kita terasa, sahabat kita dulu dah banyak berkorban untuk kita. Dia dah banyak mengalah dengan kita, dia malah mengenepikan perasaan dia sendiri demi hubungan anatara kita dan dia. Baru kita sedar, sahabat kita dulu, keberadaannya di sisi sangat memberi makna, sangat berharga.




Bukan mudah untuk punyai sahabat yang baik, dan bukan mudah juga untuk jadi sahabat yang baik. Jika kita mengharapkan seorang sahabat yang baik, jadilah sahabat yang baik dahulu. Untuk jadi sahabat yang baik, perlu banyak positifkan diri, perlu banyak bersangka baik. Jangan mudah bersangka buruk dengan sahabat, bimbang akhirnya nanti dia menjauh dari kita.




Jangan jadikan perasaan kita saja yang utama dalam bersahabat, jika itu jadi keutamaan, bimbang hubungan tak mampu bertahan lama. Jadi banyakkan mempertimbangkan sesuatu. Dalam bicara, dalam tindakan, dalam layanan, cuba elakkan dari dipengaruhi amarah dan rajuk sendiri. Persahabatan yang tercipta kerana Allah, kadang-kadang perlukan pengorbanan dari kita sendiri. Dan kebiasaannya pengorbanan tu adalah pengorbanan dari sudut perasaan kita. Kita korbankan apa yang kita rasa, demi menjaga hubungan silaturrahim ini. Dan pengorbanan tu buka tersia begitu saja, Allah pasti kan ambil kira. Allah pasti akan hitungnya. Bila kita yakin Allah ada, insya-Allah hati akan terubat, dan insya-Allah juga hati akan tenang dengan sendiri.




Dalam bersahabat, perlukan banyak muhasabah. Renung kembali dalam-dalam, apa kebaikan yang sebenarnya pernah kita buat untuk sahabat kita. Dan apa salah silap kita pada dia yang mungkin kita terlepas pandang. Dan apa harapan kita pada dia yang kita sendiri tak laksanakan sebagai sahabat dia. Jadikan kisah persahabatan Rasulullah dan para sahabat baginda contoh dan model terbaik untuk kita ambil pedoman. Walaupun kita tahu, kita takkan mampu tandingi kuatnya ukhuwah antara mereka hingga sanggup menggadai nyawa demi seorang sahabat.




Lazimkan memujuk hati dengan mengingati Allah. Sebab hakikatnya hati kita sentiasa rindukan Allah. Hakikatnya ubat pada lukanya hati hanya Allah. Percayalah :)

No comments: